Carrick ingatkan rakan berwaspada

MANCHESTER: Pemain tengah Manchester United, Michael Carrick menyuarakan amaran terhadap sikap ambil mudah kem Old Trafford apabila barisan Sir Alex Ferguson berdepan cabaran terbaru dalam usaha mengekalkan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan berkunjung ke Middlesbrough, hari ini.

Juara bertahan dan pendahulu EPL itu berdepan Boro, 24 jam selepas musuh ketat, Chelsea berdepan Manchester City manakala Arsenal melayan kunjungan Liverpool dengan laluan Arsenal ternyata sukar berdasarkan baki perlawanan mereka, musim ini.

United bakal memiliki kelebihan selesa dengan satu tangan memegang trofi EPL musim ini andai salah satu daripada kelab terbabit tewas sekalipun terpaksa melayan Arsenal di Old Trafford dan berkunjung ke Chelsea di Stamford Bridge untuk baki perlawanan berikutnya.

Tetapi Carrick mengakui pertemuan menentang Boro dan kunjungan ke Blackburn, awal bulan ini penting bagi United dalam usaha mengekalkan trofi EPL musim ini.

Carrick berkata: “Saya tidak fikir anda boleh memandang mudah mana-mana perlawanan berbanding pertemuan lain. Aksi menentang Arsenal dan Chelsea ternyata penting, tapi saya tidak fikir keputusan pertemuan itu bakal menentukan siapa memiliki trofi musim ini.

“Kami perlu menang semua perlawanan dan sesetengah daripadanya amat sukar.

“Tapi, kami sentiasa menetapkan misi menjuarai liga musim ini dan keyakinan mencapai misi itu meningkat seiringan perjalanan kempen musim ini.

“Kini tiba masanya kami mencapai prestasi terbaik.” – AFP



CommentLuv Enabled