Ferguson sinis sentuhan 'Big Phil'

REMPUH: Pemain Orlando Pirates, Lindokuhle Mkhwanazi (kiri) mengasak pemain Manchester United, Carlos Tevez dalam saingan Vodacom Challenge di Stadium ABSA di Durban, Afrika Selatan, kelmarin, United menang 1-0.

JOHANNESBURG: Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson memberi amaran kepada Luiz Felipe Scolari betapa dia berdepan ranjau untuk menjulang skuad Chelsea yang kian dimamah usia buat mengulangi pencapaian seperti dinikmati ketika di bawah kendalian bekas pengendali, Jose Mourinho.

Scolari, kini di Guangzhou, China, dengan Chelsea sebagai sebahagian persiapan pra-musim, menggantikan Avram Grant di kelab Liga Perdana Inggeris itu bulan ini selepas meletak jawatan sebagai pengurus Portugal sebaik berakhir Euro 2008.

Pengendali Brazil itu tiba di England dengan reputasi hebat selepas memenangi Piala Dunia 2002 bersama skuad negaranya, tetapi Ferguson ? pasukannya menundukkan Orlando Pirates di Durban, Afrika Selatan, kelmarin percaya usaha mengembalikan Chelsea ke puncak gemilang bukannya mudah buat Scolari.

Dia mengakui ‘Big Phil’ berdepan cabaran sukar jika mahu mengulangi pencapaian Mourinho di Chelsea.

“Mourinho menang gelaran dua tahun berturut-turut dan menundukkan kami pada final Piala FA, jadi tiada siapa tampak mampu memperbaiki rekodnya. Mereka perlu menghasilkan sesuatu yang mengatasi prestasi Mourinho untuk membimbangkan kami.`

“Scolari beruntung kerana Chelsea punya himpunan pengalaman dan itulah satu perkara yang membimbangkan saya musim lalu, tetapi saya tidak tahu sejauh mana pasukan itu mampu memanfaatkannya.

“Sukar untuk melihat banyak peningkatan dengan pasukan yang sudah amat berpengalaman. Tahap kemuncak mungkin bukan perkataan terbaik, tetapi bagaimana Chelsea mampu melonjak melepasi apa yang sudah mereka capai ketika ini.”

United akan bertemu Chelsea September nanti dalam pertembungan pertama selepas final Liga Juara-juara Eropah di Moscow yang dimenangi United menerusi penentuan sepakan penalti. Ferguson yakin pasukannya punya faktor pemain muda untuk mengatasi Chelsea dalam perebutan gelaran musim akan datang.

“Apabila anda lihat usia barisan Chelsea, kecuali Salomon Kalou dan John Obi-Mikel, mereka memang pasukan berpengalaman. Saya tidak katakan mereka barisan tua kerana dengan kaedah latihan moden, pemain boleh beraksi dalam usia 30an.

“Apa yang saya katakan ialah saya tidak nampak peningkatan mendadak dalam pasukan yang dibarisi pemain rata-rata sudah berusia dalam lingkungan 30an.” ? AFP



CommentLuv Enabled