Gill tuntut Ronaldo lebih setia
![]() |
|
RONALDO dilaporkan berminat menyertai Real Madrid musim depan. |
MANCHESTER, England – Ketua eksekutif Manchester United, David Gill mendesak Cristiano Ronaldo agar menunjukkan komitmen dan kesetiaannya kepada kelab itu.
Ketika ini, Ronaldo sedang dalam menjalani proses pemulihan selepas menjalani pembedahan pergelangan kaki sekali gus menyaksikannya terlepas kempen awal Liga Perdana England selama tiga bulan.
Terdahulu, pengurus United, Alex Ferguson menegaskan bahawa pemain sayap antarabangsa Portugal itu tidak akan dijual ke Real Madrid.
Namun bagi Gill, pemain berusia 23 tahun itu perlu menunjukkan komitmennya bersama kelab selepas mereka memenangi gelaran berganda Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara musim lalu.
“Dia (Ronaldo) masih mempunyai kontrak, jadi ia memberi kekuatan dan kelebihan bersama Manchester United,” kata Gill.
“Saya fikir kami mempunyai penjelasan yang secukupnya mengenai Ronaldo yang masih mempunyai kontrak sehingga tahun 2012. Dia adalah pemain yang bernilai untuk pasukan dan itu adalah situasinya.
“Saya yakin Christiano memberikan pandangannya dan berharap kami boleh memandang ke hadapan.
“Apa yang telah kami lakukan sungguh efektif, kami mempunyai seorang pemain terbaik di dunia. Dengan itu kami yakin terdapat beberapa tanggungjawab dan kewajipan.
“Ada kenaikan gaji dan kami merasakan dia perlu menunjukkan komitmen dan kesetiaan dan dia tidak boleh berkata, ‘saya menyedarinya tetapi saya ketinggalan setahun di belakang’ terutamanya selepas menamatkan musim lalu.”
Ketika ditanya adakah Ronaldo akan ditawarkan satu kontrak baru, Gill berkata: “Tidak. Dia hanya berpegang pada kontrak 18 bulan lalu dan berdasarkan gaji yang diperoleh, bayaran yang diterima sangat berpatutan.” – AFP

