Keputusan 3-1 (sepakkan penalti)

WEMBLEY – Manchester United memulakan langkah bergaya pada kempen awal musim ini apabila muncul juara Piala Perisai Kemasyarakatan selepas menewaskan Portsmouth semalam.

Perlawanan yang menemukan juara Liga Perdana England itu dengan Portsmouth selaku juara Piala FA menyaksikan anak buah Alex Ferguson menang 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

Terdahulu, pada aksi di Stadium Wembley, kedua-dua pasukan gagal mencipta sebarang jaringan dan sekadar berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan selepas berakhirnya 90 minit perlawanan.

Penjaga gol antarabangsa Belanda, Edwin Van der Sar muncul wira United selepas berjaya menyelamatkan sepakan penalti Arnold Mvuemba.

Dua lagi sepakan penalti Portsmouth yang diambil Lassana Diarra dan Glen Johnson sekadar melepasi palang gol.

Sebaliknya, tiga pemain United, Carlos Tevez, Ryan Giggs dan Michael Carrick masing-masing bijak memperdayakan penjaga gol Portsmouth, David James.

Sebelum itu, United terpaksa beraksi tanpa kehadiran beberapa tonggak utama termasuk Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo.

Pertembungan ini merupakan aksi pembuka tirai Liga Perdana England musim 2008/2009. – Agensi



CommentLuv Enabled