MU tiba di Afrika dengan 1001 masalah

MANCHESTER: Hanya dua bulan ditabal juara Eropah, Manchester United tiba di Afrika Selatan hari ini bagi lawatan pramusim, diselubungi dengan masalah yang boleh menggugat pasukan.

Kemenangan ke atas Chelsea menerusi tendangan penalti bagi menjulang mahkota Liga Juara-Juara Eropah itu merupakan kemuncak kejayaan United musim lalu, selepas menjuarai Liga Perdana England tetapi menjelang pembukaan musim baru ini, Sir Alex Ferguson berdepan dua masalah besar.

Keinginan Cristiano Ronaldo untuk meninggalkan juara Liga Perdana itu untuk menyertai Real Madrid dan pemergian pembantu yang dipercayainya, Carlos Queiroz, merupakan dua masalah yang perlu segera diatasi.

Di samping itu, kegagalan menguatkan skuad musim lalu untuk menentang Kaizer Chiefs di Cape Town esok membayangkan masa depan United yang belum menentu.

Kebetulan, semasa melawat Afrika Selatan dua tahun lalu, United menghadapi masalah yang sama.

Ruud van Nistelrooy sedang dalam proses berpindah ke Real Madrid manakala Ronaldo juga menghadapi masa depan tidak menentu selepas bergaduh dengan Wayne Rooney semasa perlawanan suku akhir Piala Dunia antara Portugal dengan England.

Namun, Ferguson dan pasukannya muncul sebagai juara musim tersebut dan kunjungan ke Afrika Selatan disifatkan sebagai titik perubahan dengan Patrice Evra membuktikan kemampuan dan Ole-Gunnar Solskjaer mengulangi kecemerlangannya selepas dua tahun dilanda kecederaan.

Dengan timbulnya sekali lagi tanda tanya mengenai masa depan Ronaldo, harapan mendapatkan penyerang Dimitar Berbatov dari Tottenham dan pengganti Queiroz, United tetap bersemangat menghadapi tiga perlawanan semasa lawatan pramusim ini.

Pemain midfield, Michael Carrick, berkata: ‘Musim ini tiba begitu cepat tetapi saya tetap bersedia untuk beraksi semula

‘Kami memulakan dari sifar dan perlu melakukannya semula. Sekali lagi kami akan menghadapi musim yang panjang tetapi kami bersedia menghadapi cabarannya.

‘Kami menang perlawanan pertama pramusim di Aberdeen Sabtu lalu tetapi kami perlu bermain lebih tajam.’

Ronaldo baru menjalani pembedahan tetapi United tetap mempunyai skuad terkuatnya.

Selain daripada Carrick, United menyertakan Rooney, Carlos Tevez, Rio Ferdinand dan Ryan Giggs.

Kapten Gary Neville, yang sudah pulih sepenuhnya, turut serta dalam skuad ke Cape Town ini

Selepas tiga perlawanan di Cape Town, Durban dan Pretoria, United akan Nigeria bagi perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Perdana, Portsmouth, di Abuja.

Sekembali ke England nanti, United akan mengadakan lagi dua perlawanan persahabatan di Old Trafford menentang Espanyol dan Juventus.



CommentLuv Enabled