Ronaldo buka pekung di dada

LONDON – Pemain sayap Portugal, Cristiano Ronaldo mengakui, kejayaan Manchester United menjuarai Liga Juara-Juara musim lalu telah mencetus- kan keinginannya menyertai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.
“Saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan United dan saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah memberitahu sesiapa tentang hal ini.
“Jika kami tidak menjadi juara Eropah, sudah tentu saya tidak terfikir untuk menyertai Real.
“Tetapi selepas kami memenangi Liga Juara-Juara, saya merasakan dalam tempoh lima tahun saya telah membantu United memenangi segala-galanya.
“Kami memenangi Liga Perdana England sebanyak dua kali, saya juga memenangi anugerah individu ter- masuk penjaring terbanyak Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara.
“Jadi saya merasakan sudah sampai masanya untuk saya mencari satu cabaran baru,” kata Ronaldo kepada akhbar Portugal, Publico kelmarin.
Dalam pada itu, Ronaldo serta Wayne Rooney tidak akan beraksi pada saingan Piala Kemasyarakatan menentang Portsmouth di Stadium Wembley esok.
Perlawanan ini merupakan aksi pembukaan Liga Perdana England 2008/2009 yang menemukan juara Liga Perdana England musim lalu, United dengan juara Piala FA, Portsmouth.
Ketika Rooney dan Ronaldo yang masih berehat, manakala Louis Saha tidak cergas sepenuhnya, Carlos Tevez dijangka mengetuai jentera serangan United.
“Ini adalah satu kebimbangan. Wayne sudah pasti akan terlepas aksi awal musim dan masa depan Louis Saha masih belum diputuskan.
“Situasi ini menyaksikan kami menghadapi masalah pemain di bahagian serangan,” kata pengurus United, Alex Ferguson. – Agensi
