Rooney mahu Tevez kekal

LONDON – Wayne Rooney mahu rakan sepasukannya di Manchester United, Carlos Tevez terus berada di Old Trafford apabila tempoh pinjamannya berakhir musim depan.


TEVEZ berjaya mencipta nama bersama kelab United.

Penyerang antarabangsa Argentina itu sudah menyuarakan keinginannya untuk terus berada di kelab itu dan Rooney yakin tidak ada alasan mengapa perkara itu tidak boleh diselesaikan.

“Saya tidak nampak kenapa perkara itu tidak dapat dilakukan,” kata Rooney.

“Carlos seronok bermain di sini (Old Trafford).”

Tevez menyertai United tahun lalu selepas memainkan peranan utama membantu West Ham United daripada tersingkir dalam saingan Liga Perdana England.

Dia juga memainkan peranan yang besar ketika membantu United mempertahankan gelaran Liga Perdana serta mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara musim ini.

Tevez juga berjaya membentuk persefahaman yang mantap bersama Rooney dan kedua-dua penyerang ini menjadi senjata utama United untuk menentang Chelsea di Moscow Rabu ini.

“Carlos adalah seorang pemain yang hebat dan sentiasa berkerja keras untuk pasukan,” kata penyerang England itu.

“Sejak hari pertama dia menjalani latihan bersama kami, kamu dapat lihat kualiti yang ada pada dirinya. Dia sungguh menakjubkan.”

Rooney yang akan melangsungkan perkahwinan bersama Coleen McLoughlin bulan depan berkata, jika mereka berjaya menewaskan Chelsea Rabu ini dan memenangi satu lagi pingat, ia adalah satu hadiah yang tidak ternilai.

“Kemenangan itu akan menjadikan hari perkahwinan itu lebih menarik dan bermakna.” – AFP



CommentLuv Enabled