United ada kelebihan

LONDON: Manchester United memiliki satu lagi gelaran Liga Inggeris dan Cristiano Ronaldo. Chelsea memiliki skuad besar yang berbakat dan kemewahan pemilik kelab, Roman Abramovich.

Tiada sebarang status pasukan bukan pilihan pada final Liga Juara-Juara apabila dua kelab Inggeris itu mencipta sejarah bertembung sesama sendiri di Moscow.

United menentang Chelsea di Stadium Luzhniki, awal pagi Khamis ini yang juga bermakna Liga Perdana Inggeris (EPL) datang ke Russia, menandakan kali pertama bagi dua pasukan Inggeris bertemu pada final Liga Juara-Juara yang menjadi pertandingan paling berprestij bola sepak Eropah.

Setakat ini, dengan mengambil kira kesebelasan utama, sukar untuk meramalkan siapa bakal keluar sebagai pemenang.

Bagaimanapun, jika diambil kira pencapaian dua jurulatih itu, ia seperti perlawanan berat sebelah dan keadaan itu mampu memberi kelebihan kepada United sekali lagi.

Alex Ferguson hampir berupaya menjulang sekurang-kurangnya satu piala setiap musim sepanjang 22 tahun berada di Old Trafford dan baru saja mengenepikan Chelsea untuk meraih gelaran ke-10 Liga Perdana, baru-baru ini.

Antara kehebatan dipamerkannya ialah kejayaan lima Piala FA dan Liga Juara-Juara pada 1999.

Avram Grant tidak mempunyai sebarang kejuaraan untuk dibandingkan dengan kejayaan Ferguson. Bagaimanapun, bekas jurulatih Israel itu yang baru tujuh bulan mengendalikan Chelsea sejak Jose Mourinho meninggalkan kelab itu September lalu – tapi tunduk kepada Tottenham pada final Piala Liga dan kemudian United, dalam perebutan Liga Perdana – memburu kejayaan pertama bersama The Blues.

Ferguson memberi pujian terhadap pencapaian Grant apabila begitu hampir meraih tiga piala dalam musim pertamanya dan pengurus Scotland itu kelihatan seperti terkejut kerana wujudnya spekulasi hangat pengurus dari Israel itu mungkin dipecat berikutan aksi hambar serta kekurangan gerakan menarik dipamerkan Chelsea.

“Terdapat banyak kelab akan memberikan seseorang pengurus kontrak selama 10 tahun kerana mencapai keupayaan seperti itu,” kata Ferguson. “Ia bukan sesuatu yang dapat dilakukan setiap orang. Ia bukan tugas mudah mengambil alih jawatan Mourinho pada pertengahan musim. Beliau (Grant) kurang dikenali di negara ini, tapi beliau berada pada final Liga Juara-Juara. Beliau melakukan tugas dengan cemerlang sebagai pengurus untuk musim pertama dan Chelsea masih lagi menjadi satu pasukan yang sukar ditewaskan. Mereka besar, kuat dan berpengalaman dan pakar bertahan untuk mencatat kemenangan 1-0.”

Ferguson begitu hampir dipecat United selepas gagal menjuarai sebarang piala pada tiga tahun pertamanya di Old Trafford.

Tapi, dengan 21 gelaran yang menyusul mungkin dapat menebus kegagalan awalnya itu, tapi beliau tetap kecewa kerana United tidak menjuarai Liga Juara-Juara secara lebih kerap.

“Lihat kepada rekod Real Madrid dengan sembilan kali bergelar juara, AC Milan, tujuh dan Liverpool, limai. Ajax dan Bayern Munich empat setiap satu. Ia rekod yang kami perlu benar-benar ada,” kata Ferguson hyang hanya dua kali membawa United ke final daripada 14 percubaan.

“Perkara itu perlu menjadi dorongan kepada kami sekarang.” – AP



CommentLuv Enabled