United tidak minat – Gill
Ketua Eksekutif Manchester United, David Gill tidak berminat untuk melayan tawaran berjumlah 135 juta pound (RM829 juta) daripada Manchester City bagi mendapatkan Cristiano Ronaldo.
Ronaldo bakal membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Perdana England bulan ini selepas mencetuskan kontroversi dengan spekulasi perpindahan ke Real Madrid sepanjang musim panas lalu.
Namun, City yang dianggap sebagai pencabar baru kepada United menyuarakan keinginan mereka untuk mendapatkan pemain sayap Portugal itu.

Sulaiman Al-Fahim, seorang ahli perniagaan yang bergelar juta- wan dan telah mengambil alih kelab City menerusi syarikat Abu Dhabi United Group (ADUG) berkata, beliau bercita-cita untuk membentuk sebuah pasukan impian yang mampu bersaing dalam kempen Liga Juara-Juara beberapa tahun lagi.
Selain itu, beliau juga berhasrat untuk membuat tawaran tertinggi di dunia bagi mendapatkan bintang United itu.
Tetapi Gill berkata, impian City itu tidak mungkin akan menjadi kenyataan dan menganggapnya sebagai isu remeh.
“Ia adalah satu komen yang menarik dan saya fikir ia adalah baik untuk semua peminat,” kata Gill.
“Adalah menarik apabila Alex Ferguson mengumumkan pembelian Dimitar Berbatov lebih awal meskipun kemudiannya Tottenham Hotspur membuat aduan kepada Liga Perdana.
“Dia (Al-Fahim) membuat pendedahan mengenai pembelian (Fernando) Torres dan (Cesc) Fabregas dalam artikel yang sama, jadi saya fikir kami akan anggap ia sebagai sesuatu yang terpencil.
“Saya tidak pernah bertemu seorang lelaki yang berani. Ia adalah mengenai sejumlah wang yang besar dan akan merosakkan industri ini, jadi saya yakin dia serius di semua peringkat.” – AFP
